LeaVe yOuR LiNk... I wiLL fOllOw yOu... I wiLL reVieW yOuR bLOg...

Jimmy Choo, Chef Wan lelong diri!

Monday, November 15, 2010

MEREKA sama hebat dalam bidang masing-masing. Malah populariti yang dikecapi melangkaui sempadan antarabangsa. Dengan status mereka itu, ia tidak pernah menghalang Datuk Chef Wan dan Datuk Jimmy Choo mendekati golongan kurang bernasib baik.
Buktinya pada majlis yang berlangsung di kompleks beli-belah Bangsar Shopping Centre (BSC), Kuala Lumpur baru-baru ini, kedua-dua selebriti ternama ini menyertai acara 'lelong diri' bagi mengutip dana untuk acara 'Make A Wish' Malaysia (MAWM) dan National Cancer Society Malaysia (NCSM).
Paling membanggakan, Jimmy yang menetap di London sanggup turun padang meluangkan masa bagi memeriahkan majlis itu. Program anjuran Steps Ahead Pre-School, BSC dan The Ampwalk ini turut disokong butik terkenal Lord's Tailor yang menaja busana mereka.
Pada majlis itu, Chef Wan menunjukkan kebolehan dengan mengadakan demonstrasi masakan di depan tetamu.
Jimmy walaupun handal dalam pembuatan kasut, turut menunjukkan kehebatan memasak.

Turut diadakan acara jualan 1,000 kek cawan, buku resipi masakan Chef Wan, baju, buku resipi Avon dan banyak lagi.

Acara paling menarik perhatian ialah sesi 'lelong diri' Jimmy dan Chef Wan.
Mereka yang membida harga tertinggi berpeluang makan malam bersama kedua-dua selebriti itu.
Chef Wan, yang boleh dikategorikan sebagai selebriti jutawan tidak kedekut memberi sumbangan peribadi bernilai RM10,000 kepada kedua-dua persatuan terpilih itu sempena majlis Cooking For Kids. Dia menyifatkan pembabitannya sebagai tanggungjawab membantu sesama manusia.
"Saya sangat tertarik dengan idea ini dan tak kisah diundang menjayakannya. Selepas ini saya bercadang nak jadi duta MAWM pula. Sebenarnya ini bukan kali pertama saya buat kerja amal sebegini. "Dalam Islam sendiri ada mengajar konsep memberi dan menerima serta Allah pun menggalakkan kita bersedekah kalau ada lebih. Saya seperti kembali kepada asal-usul kerana dulunya saya datang daripada keluarga susah. "Disebabkan kesungguhan untuk mengubah nasib keluarga, saya bekerja keras sehingga berada pada tahap sekarang," katanya yang mendapat gelaran Chef Selebriti Terbaik Dunia 2009 di Gourmand Award, Perancis, tahun lalu.

Datuk Jimmy yang pernah mereka kasut untuk bintang Hollywood berkata, dia tidak kisah pulang untuk menjayakan program amal membabitkan kanak-kanak. Apatah lagi jika ia membabitkan penyakit kanser kerana ibunya sendiri pernah menghidap barah payudara. "Jadi saya rasa terpanggil untuk memberikan kegembiraan dan harapan buat kanak-kanak ini bersemangat menjalani hari esok. Yang penting masyarakat perlu diberikan kesedaran awal mengenai penyakit kanser dan cara untuk mencegahnya," kata Duta Pelancongan Malaysia ini yang turut menyeru masyarakat supaya sama-sama menderma.

Sementara itu, Penaung MAWM, Tengku Puteri Nor Zehan Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj berkata, dana yang ada digunakan bagi membiayai kanak-kanak yang mengidap leukemia, kanser dan pelbagai jenis penyakit kronik.

p/s: sumber dari Harian Metro 

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Copyright © 2009 Grunge Girl Blogger Template Designed by Ipietoon Blogger Template
Girl Vector Copyrighted to Dapino Colada