LeaVe yOuR LiNk... I wiLL fOllOw yOu... I wiLL reVieW yOuR bLOg...

Sari Yanti bahagia bergelar ibu

Tuesday, October 19, 2010

JIKA wanita lain bimbang bentuk badan mereka berubah selepas melahirkan anak, pelakon jelita Sari Yanti pula mengakui seronok menikmati saat indah bergelar ibu.

Kata Sari atau nama sebenarnya Sari Yanti Mohamad Nazari, 26, dia juga rindu dengan perutnya yang sarat ketika mengandungkan anak sulungnya, Barr Al Aliy sebelum ini. Barr adalah anak lelaki hasil perkongsian hidup Sari dan suaminya, Mohd Eddy Casmady Che Husin yang dibina tanggal 17 Januari 2009.

Nama Barr Al Aliy juga dipilih mereka berdua sempena 99 nama Allah. “Saya seronok menjadi ibu dan bersedia untuk mengandung anak kedua pula selepas ini. Terus-terang, berat badan saya naik sebanyak 22 kilogram sepanjang sembilan bulan mengandungkan dulu. “Tapi saya gembira melalui saat bergelar ibu itu. Kehadiran Barr memang melengkapkan lagi kebahagiaan rumah tangga saya dan suami. Kini, saya bercadang menurunkan berat badan sebanyak tiga kilogram untuk kembali ke lokasi penggambaran nanti,” katanya.

Sebagai ibu, pelakon yang popular menerusi wataknya sebagai gadis tingkatan empat dalam drama bersiri Kisah Kaisara ini ingin memberikan yang terbaik buat perkembangan pembesaran anak kesayangannya itu.

“Saya bercadang untuk menyusukan Barr sepenuhnya sehingga dia berusia enam bulan. Sebab itu, saya masih belum dapat berat badan asal kerana saya perlu makan makanan berkhasiat sepanjang tempoh menyusukannya ini.

“Saya juga bersyukur kerana Barr anak yang cukup baik dan senang dijaga. Dia tidak banyak meragam pada waktu malam dan juga sudah pandai senyum dan ketawa.

“Sepanjang tempoh berpantang dan sehingga Barr berusia tiga bulan, saya hanya berehat di rumah dan menjaga anak saja. Saya bertuah kerana suami banyak membantu meringankan tugas di rumah dan dialah yang mengajar saya bagaimana untuk memandikan anak.

“Suami tidak kekok menjaga anak kecil kerana dia ada pengalaman menjaga adiknya ketika berusia 16 tahun,” katanya. Ditanya sama ada dia merestui jika Barr ingin mengikut jejaknya menjadi anak seni pada masa depan, Sari akui tidak kisah dengan perkara itu.

“Apa yang penting, Barr tidak melanggar batas yang ditetapkan dalam agama Islam. Saya dan suami hanya akan menyokongnya dari belakang,” katanya. Sari mengadakan majlis cukur jambul Barr di Tajine Restaurant, Jalan Delima pada Ahad lalu. Tetamu kenamaan yang hadir memeriahkan majlis ialah Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin.

Tidak ketinggalan, kehadiran rakan artis yang rapat dengannya seperti pelakon dan pengacara Dynas Mokhtar, penyanyi Ezlynn dan pengacara Majalah 3, Nurul Syuhada Nurul Ain.

Mengenai perkembangan karier seninya pula, kata Sari, dia sudah terbabit sebagai pengacara Chopp! yang disiarkan di stesen TV9 sebelum habis tempoh berpantang lagi. Sari sudah mengacarakan program itu bersama pengacara lain sejak dua tahun lalu.

“Selain itu saya terbabit dengan penggambaran iklan Kotek beberapa hari lalu. Saya juga terpaksa tinggalkan Barr selama 10 jam di rumah sepanjang terbabit dengan ikan berkenaan.

“Barr juga akan dijaga emak dan ibu mentua jika saya keluar bekerja. Maklumlah, Barr adalah cucu pertama keluarga kedua-dua belah pihak. “Saya juga tidak bimbang meninggalkan Barr dengan keluarga kerana memang ada menyimpan susu yang dipam dalam peti sejuk jika saya keluar bekerja,” katanya.

Sementara itu, tambah Sari yang juga pemegang Diploma Pengajian Perniagaan dari Universiti Tenaga Nasional (Uniten) ini lagi, dia juga tidak membataskan watak diterima selepas berkahwin dan mempunyai anak.

“Saya tidak ada masalah dari segi watak yang diserahkan asalkan saya ada kelapangan ketika itu. Saya bercadang kembali ke lokasi penggambaran drama pada penghujung November nanti.

“Buat masa ini, saya terpaksa tolak tawaran berlakon di luar Kuala Lumpur kerana Barr masih kecil lagi dan sangat memerlukan perhatian saya sebagai ibu,” katanya.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Copyright © 2009 Grunge Girl Blogger Template Designed by Ipietoon Blogger Template
Girl Vector Copyrighted to Dapino Colada